21 September 2019 – Rumah Makan Cibiuk Ayer Keroh telah menyertai Seminar dan Travel Mart Pelancongan Negeri Melaka bersempena pelancaran Visit Melaka 2019 di Hotel Santika Premiere Hayam Wuruk, Jakarta.
Melaka promosi pelancongan di Jakarta
JAKARTA 21 Sept.- Kerajaan Negeri Melaka menerusi Bahagian Promosi Pelancongan Jabatan Ketua Menteri mempromosi produk pelancongan negeri di Jakarta, Indonesia.
Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Muhammad Jailani Khamis berkata promosi itu bertujuan memperkenalkan 13 sub sektor pelancongan Negeri Melaka membabitkan sejarah, budaya, rekreasi, sukan, membeli-belah, konvensyen, kesihatan, pendidikan, pelancongan agro, makan-makan, Melaka sebagai rumah ke-2, pelancongan belia dan pelancongan eko.
“Kerajaan negeri menawarkan pelbagai produk pelancongan berasaskan 13 sub sektor, ditambah pula kami (kerajaan negeri) mahu melebarkan lagi promosi Tahun Melawat Melaka 2019.
“Dengan slogan ‘Melawat Melaka Bersejarah Berarti Melawat Malaysia’ dan ‘Melaka Bandaraya Warisan Dunia Melaka UNESCO’, Melaka menawarkan pelbagai keunikan budaya.
“Kami turut mempamerkan kebudayaan dan keunikan Negeri Melaka dengan bertemakan ‘Melaka A Gateway to Historic Malaysia’,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Melaka Week @Jakarta di Hotel Santika Premier Hayam Wuruk, di sini, kelmarin.
Hadir sama, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Jabatan Ketua Menteri, Zairi Suboh.
Jelasnya, Kerajaan Negeri Melaka turut memperkenalkan produk pelancongan baharu iaitu Encore Melaka yang berfungsi sebagai pentas pertunjukan teater berkelas dunia dan menggunakan sistem pencahayaan terkini.
“Encore Melaka merupakan teater terbesar di Asia yang dapat menampung kira-kira 2,000 orang di mana platform penonton akan berputar 360 darjah.
“Selain itu, Melaka juga memiliki lebih dari 789 produk pelancongan yang pelbagai. Contohnya seperti Menara Taming Sari dan Melaka River Cruise,”katanya.
Sementara itu, dalam majlis tersebut, ia turut disertai agensi serta syarikat swasta seperti Melaka River Cruise, Menara Taming Sari, Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA), Encore Melaka, Mahkota Medical Centre (MMC), Hotel MITC Melaka, Hotel Hatten Melaka, Hotel Muzaffar Melaka, Hotel Settlement Melaka, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), Persatuan Pelancongan Negeri Melaka (MTA), Pengerusi Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA), Ismah Beach Resort, Dam Som Inn Hotel, Restoran Cibiuk, A’Famosa Resort dan Tanjung Bidara Beach Resort.
sumber: MelakaKini
Liputan media: Travelxpose , Venuemagz, MyTrip , AirMagz